2023-05-12

Pelantikan AWARIS Sebagai Pemegang Amanah Program Perkongsian Komuniti untuk Bil Perubatan Lyndung


Kuala Lumpur: Pada 11 Mei yang lalu, sebuah Majlis Menandatangani Surat Ikatan Amanah (Master Trust Deed) bagi Program Perkongsian Komuniti untuk Bil Perubatan Lyndung di antara Amanah Warisan Berhad (AWARIS) dan Lyndung Sdn. Bhd telah diadakan di ibu pejabat Amanah Warisan Berhad, Menara 2, 8trium, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Saruji Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan AWARIS dan YBrs. Encik Shamsuddin Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Lyndung Sdn. Bhd. 

Penyerahan Surat Ikatan Amanah (Master Trust Deed) oleh Dato' Ahmad Saruji Abdul Aziz (kiri) kepada Encik Shamsuddin Salleh (kanan)

Penyerahan Surat Ikatan Amanah (Master Trust Deed) oleh Dato' Ahmad Saruji Abdul Aziz (kiri) kepada Encik Shamsuddin Salleh (kanan)

Program Perkongsian Komuniti untuk Bil Perubatan Lyndung merupakan sebuah program patuh Syariah yang dibina dengan hasrat untuk mendemokrasikan industri penjagaan kesihatan di Malaysia. Program Perkongsian Komuniti Lyndung ini adalah sangat unik kerana menawarkan fi keahlian yang rendah iaitu hanya​​​​ RM10 sebulan atau RM120 setahun. Manakala, bil perubatan pula akan dibahagi secara sama rata bersama ahli komuniti dan seandainya tiada ahli komuniti ditimpa musibah kesihatan, maka tiada perkongsian diperlukan.

“Sumbangan perkongsian awal dan tabung sumbangan perkongsian ini adalah milik ahli komuniti dan bukan milik Lyndung Sdn. Bhd. Pelantikan AWARIS sebagai pemegang amanah untuk Program Perkongsian Komuniti untuk Bil Perubatan Lyndung adalah penting bagi memastikan ketelusan dan integriti program berada pada tahap yang tertinggi.” ujar En. Shamsuddin Salleh.

Kenapa Lyndung memilih Amanah Warisan Berhad (AWARIS)?

AWARIS adalah sebuah syarikat amanah patuh Syariah yang ditubuhkan pada tahun 2018. Syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 ini merupakan sebuah syarikat amanah yang bereputasi tinggi dan merupakan rakan korporat kepada beberapa institusi kewangan yang terkenal seperti Bank Islam, Bank Muamalat, Kuwait Finance House dan TEKUN Nasional.

Dato' Ahmad Saruji Abdul Aziz dan Encik Shamsuddin Salleh menandatangani Surat Ikatan Amanah Program Perkongsian Komuniti untuk Bil Perubatan Lyndung

Sebagai sebuah syarikat amanah yang menyediakan perkhidmatan kepada institusi perbankan, AWARIS mempunyai tahap tadbir urus yang tinggi, setara dengan keperluan yang digariskan oleh Badan-Badan Berkanun di Malaysia.

“Lyndung merupakan sebuah program yang memiliki potensi yang besar. Program ini dapat memberikan kebaikan dan memudahkan masyarakat. AWARIS akan memegang amanah dengan baik, bukan hanya sekadar menjaga akaun amanah semata-mata, bahkan memberi nilai tambah kepada keseluruhan program” ujar Dato’ Ahmad Saruji Abdul Aziz.

Pelantikan AWARIS sebagai pemegang amanah dan Pensijilan Patuh Syariah yang telah diterima sebelum ini diharapkan dapat memberi keyakinan kepada ahli komuniti Lyndung bahawa program ini ditadbir dengan telus dan berintegriti.

 

Back to Dashboard