2023-09-11

Lyndung Menjalinkan Kerjasama Bersama SAPOT untuk Menyediakan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental Inovatif kepada Komuniti Lyndung



Dari kiri Najiya Ilya, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama SAPOT Tech PLT bersama Shamsuddin Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Lyndung semasa Majlis pertukaran Perjanjian Persefahaman (MoU).


Kuala Lumpur - Pada 4 September yang lalu, Lyndung Sdn. Bhd. (Lyndung), sebuah program perkongsian komuniti untuk bil perubatan, telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan platform penjagaan diri atas talian dan sokongan sosial untuk kesihatan mental, SAPOT Tech PLT (SAPOT), bagi memperkenalkan manfaat tambahan di dalam Program Perkongsian Komuniti Lyndung menerusi platform sokongan sosial SAPOT.

Melalui kerjasama strategik ini, ahli Lyndung kini boleh menikmati akses eksklusif ke sesi bersama SAPOT Warrior tanpa sebarang kos tambahan dengan mengekalkan fi keahlian mereka.

Cadangan kerjasama antara Lyndung dan SAPOT terhasil berdasarkan kajian yang dikeluarkan oleh Institut Kesihatan Umum pada tahun 2019 yang menunjukkan terdapat perbezaan yang membimbangkan dalam kadar kemurungan antara kumpulan sosioekonomi, terutamanya komuniti B40 di Malaysia. Kelompok yang mencatat kadar kemurungan tertinggi adalah daripada golongan B40 iaitu sebanyak 2.7%, diikuti dengan golongan M40 (1.7%) dan T20 (0.5%). Penemuan ini mendorong kerjasama antara kedua-dua pihak bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental dan memperluaskan akses penjagaan kesihatan mental dalam kalangan komuniti B40.

Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Common Ground Bangsar South, Kuala Lumpur ini telah disempurnakan oleh wakil daripada Lyndung dan SAPOT iaitu Shamsuddin Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Lyndung Sdn. Bhd. dan Najiya Ilya, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama SAPOT Tech PLT.

Wakil Lyndung dan SAPOT semasa Majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU)

Lyndung yang merupakan program perkongsian komuniti dengan matlamat untuk mendemokrasikan industri kesihatan di Malaysia, amat komited dalam usaha merapatkan jurang perkhidmatan kesihatan dan memastikan semua individu mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan mental dan fizikal yang terjangkau dan selamat.

Sebagai sebuah program yang menyediakan penyelesaian yang mampu milik, Lyndung percaya bahawa kerjasama ini dapat memperluaskan lagi akses penjagaan kesihatan mental tanpa membebankan mereka yang kurang berkemampuan. Menurut Shamsuddin Salleh, “Melalui kerjasama ini, Lyndung telah mengambil satu langkah ke hadapan ke arah merealisasikan visi kami untuk membina komuniti di mana penjagaan kesihatan adalah inklusif. Kami amat gembira kerana dapat menyediakan sokongan dari segi kesihatan mental kepada ahli-ahli Lyndung.”

SAPOT adalah platform digital penjagaan diri dan sokongan sosial yang memanfaatkan perkhidmatan pembimbing rakan dan teknologi dalam memperkasakan individu untuk mengurus kesihatan dan kesejahteraan mental mereka dengan lebih efektif. 

Ahli Lyndung kini boleh menggunakan perkhidmatan SAPOT Warrior secara percuma untuk sesi temu janji yang pertama. SAPOT Warrior merupakan sesi pembimbing rakan atas talian secara peribadi, yang terdiri daripada individu-individu yang telah pulih daripada masalah kesihatan mental dan dilatih untuk membantu golongan dewasa mencari penyelesaian kepada masalah kesihatan mental. Mereka juga diakreditasi oleh ImROC, iaitu sebuah badan yang ditubuhkan oleh National Health Service of United Kingdom untuk membangunkan perkhidmatan, sistem dan budaya yang menyokong pemulihan kesihatan mental melalui sesi perkongsian secara peribadi.

“Kerjasama ini memanfaatkan penyelesaian kesihatan mental kami yang inovatif, serta memenuhi cita rasa mereka yang lebih selesa berkongsi dengan individu yang mempunyai pengalaman serupa dengan mereka. Dengan cara ini, kami berharap dapat mengelakkan kemerosotan kesihatan mental dan membantu individu membuat keputusan yang lebih baik,” kata Najiya Ilya, Ketua Pegawai Eksekutif SAPOT Tech PLT.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai SAPOT, layari laman mereka di https://sapot.app/ 

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Lyndung, layari https://lyndung.my

 

Back to Dashboard