2024-03-15

Lyndung Menandatangani MOU Bersama Pewarisan


Kuala Lumpur - Pada 22 Februari yang lalu, Lyndung Sdn. Bhd. (Lyndung), sebuah syarikat yang menyediakan platform perkongsian komuniti untuk bil perubatan patuh Syariah telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pewarisan Sdn. Bhd. (Pewarisan), sebuah syarikat Teknologi Kewangan (FinTech) patuh syariah yang baru-baru ini berjaya menerima Malaysia Digital Accelerator Grant (MDCG) daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Pewarisan telah membangun dan melancarkan sebuah platform digital untuk aktiviti keagamaan, sosial dan ekonomi yang dikenali sebagai Masjid Network.

Hasil daripada kerjasama ini, Lyndung kini telah disenaraikan di Masjid Network sebagai salah satu produk usahawan Muslim yang menawarkan platform perkongsian komuniti untuk bil perubatan. 

Dari kiri Kamarulnizam Mustapha Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif Pewarisan bersama Shamsuddin Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Lyndung semasa Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU).

Majlis menandatangani MoU ini telah disempurnakan oleh Shamsuddin Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Lyndung Sdn. Bhd. dan Kamarulnizam Mustapha Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif Pewarisan. Turut hadir bagi menyempurnakan majlis ini adalah Azmi Abdul Kadir, Ketua Pegawai Operasi Pewarisan.

Semasa majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Lyndung berkata, sebagai sebuah program berasaskan komuniti yang patuh Syariah sepenuhnya, kerjasama dengan Masjid Network yang telah menyenaraikan lebih 6,000 masjid dan surau di seluruh Malaysia ini dilihat mampu meluaskan lagi capaian untuk program Lyndung yang mensasarkan golongan kurang berkemampuan berusia 18 hingga 40 tahun. 

Komuniti setempat yang menyertai Lyndung boleh mendapatkan rawatan di hospital dengan kos yang minimum melalui kaedah perkongsian komuniti. Selain itu, penyertaan komuniti setempat juga secara tidak langsung dapat mengukuhkan dan menstabilkan kedudukan sedia ada komuniti Lyndung.

Selain itu, Lyndung juga percaya bahawa inisiatif yang dibawa oleh Pewarisan bukan sahaja membolehkan Muslim di Malaysia untuk merancang pewarisan secara percuma tetapi turut menyokong sosial dan ekonomi usahawan-usahawan kecil di Malaysia.

Usaha Pewarisan dalam membina komuniti dan menjadi pemacu transformasi teknologi digital bagi kegiatan keagamaan, sosial dan ekonomi ini adalah usaha yang murni. Lyndung berharap kerjasama ini sedikit sebanyak dapat memberikan impak positif kepada ekonomi golongan yang kurang berkemampuan.

Back to Dashboard