2023-08-10

5 Kontrak Syariah di Lyndung


Program Perkongsian Komuniti untuk Bil Perubatan Lyndung telah menerima pengesahan patuh Syariah oleh Tawafuq Consultancy Sdn. Bhd. pada 1 Disember 2022. Program Lyndung menggunakan model Wakalah yang mengandungi 5 kontrak Syariah di dalamnya.

Untuk artikel kali kini, kami akan kongsikan 5 kontrak Syariah yang digunakan di dalam model Lyndung.

1. Wakalah

Wakalah merujuk kepada kontrak di mana satu pihak, bertindak sebagai prinsipal (Ahli Lyndung) melantik pihak lain (Lyndung Sdn. Bhd.) sebagai wakil untuk melaksanakan tugasan tertentu mengenai perkara yang boleh didelegasikan, sama ada secara sukarela atau dengan bayaran upah.

Di dalam Program Perkongsian Komuniti untuk Bil Perubatan Lyndung, Ahli melantik Lyndung Sdn. Bhd. sebagai wakil untuk menguruskan program termasuk tetapi tidak terhad kepada pengurusan wang dan dana, melantik vendor-vendor yang sesuai untuk menjayakan program, memastikan program berlangsung dengan lancar dan sebagainya. Fi wakalah di dalam program Lyndung hanyalah RM10 sebulan.

2. Iltizam bi Al-Tabarru’

Iltizam bi Al-Tabarru’ merupakan sebuah kontrak di mana seseorang itu berjanji atau beriltizam untuk komited dalam membuat sumbangan. 

Sebagai contoh, di dalam Program ini, Ahli Lyndung telah beriltizam untuk terus komited dalam membuat Sumbangan Perkongsian (Sharing Contribution). Hasrat ini diterjemahkan dengan Ahli membuat Sumbangan Perkongsian Awal berjumlah RM100 semasa pendaftaran yang kemudiannya di simpan di dalam akaun amanah yang akan dijadikan sebagai sumbangan sekiranya ada Ahli komuniti Lyndung ditimpa musibah kesihatan nanti. Selain itu, Ahli juga komited untuk memastikan Program berjalan lancar mengan menambah nilai Sumbangan Perkongsian kembali kepada RM100 jika baki Sumbangan Perkongsian tersebut bersamaan atau kurang daripada RM50.

3. Tabbaru’

Tabbaru’ merupakan sebuah kontrak di mana seseorang itu menyumbang aset atau pemberian manfaat kepada orang lain yang dilakukan untuk tujuan untuk membuat amal dan kebaikan.

Di dalam Program Perkongsian Komuniti Lyndung, Sumbangan Perkongsian berlaku apabila ada Ahli komuniti Lyndung mendapatkan rawatan di hospital. Bil perubatan tersebut akan dibahagikan secara sama rata dan kemudiannya setiap Ahli melakukan sumbangan secara terus melalui penolakan daripada baki Sumbangan Perkongsian Awal.

4. Qard

Qard adalah sejenis kontrak pemberian pinjaman tanpa faedah daripada pemberi pinjaman (Lyndung) kepada peminjam (Tabung Sumbangan Perkongsian). Melalui kontrak ini, peminjam hanya perlu membayar jumlah yang dipinjam sahaja.

Kontrak ini hanya akan diaplikasikan ke dalam Program jika Tabung Sumbangan Perkongsian tidak mencukupi untuk menanggung bil perubatan Ahli. Bagi kes sebegini, Lyndung sebagai Pentadbir akan memberi pinjaman kepada Program untuk menampung baki bil perubatan tersebut.

5. Ju’alah

Ju’alah merupakan sebuah perjanjian antara dua pihak di mana yang menyediakan imbuhan atau upah sebagai ganjaran di atas tugas yang berjaya dilaksanakan.

Dalam Program Perkongsian Komuniti Lyndung, sekiranya dana Sumbangan Perkongsian melebihi jumlah tertentu, sebahagian daripada dana tersebut boleh dilaburkan untuk menjana keuntungan. 50% daripada keuntungan atau lebihan ini akan diberikan kepada Lyndung Sdn. Bhd. sebagai ganjaran di atas prestasi baik dalam menguruskan dana tersebut. Baki 50% daripada keuntungan tersebut pula akan dikembalikan kepada tabung Sumbangan Perkongsian Lyndung.

Perkongsian mengenai kontrak-kontrak Syariah yang terlibat dalam Lyndung ini adalah bertujuan untuk membantu Ahli memahami Lyndung dengan lebih mendalam. Bukan hanya melihat kepada sijil pematuhan Syariah semata-mata, tetapi menghargai ketelusan Lyndung dalam memastikan program ini tidak melanggar apa-apa hukum yang telah ditetapkan oleh Syarak.

 

 

Back to Dashboard